Pages

Thursday, June 9, 2011

Cukai syarikat komunikasi bakal bebankan anak muda

Sumber: Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Pemuda PAS Johor meminta penjelasan syarikat telekomunikasi terbabit yang didakwa tidak lagi menyerap cukai perkhidmatan mulai Julai 2011.

Justeru, ketuanya, Suhaizan Kayat (gambar) berkata pihaknya mewakili anak-anak muda Malaysia yang majoritinya pengguna telefon prabayar memohon penjelasan daripada pihak syarikat telekomunikasi berkenaan mengenai kebenaran dakwaan tersebut.

Katanya, penjelasan itu adalah penting untuk maklumat pengguna kerana merekalah yang menerima kesan terhadap polisi itu.

Menurutnya, terdapat 3 syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia iaitu Digi, Celcom dan Maxis.

Katanya, pada tahun 2006 terdapat 17.8 juta mendaftar sebagai pengguna talian prabayar.

Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati rakyat Malaysia membelanjakan RM17 juta sehari untuk penggunaan SMS (sistem pesanan ringkas).

Pada tahun 2004 terdapat 9.5 bilion SMS telah dihantar oleh rakyat Malaysia. Secara puratanya pengguna telefon menghantar 4 SMS setiap hari.

Beliau berkata, bermula Januari 2011 pihak kerajaan telah menaikkan cukai perkhidmatan daripada 5% kepada 6%.

Cukai perkhidmatan pengguna telefon prabayar juga tidak terkecuali di mana selama ini cukai 5% telah diserap oleh syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, memandangkan beban yang terlalu besar ditanggung oleh pihak syarikat telekomunikasi maka terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa syarikat terbabit tidak lagi menyerap cukai tersebut mulai Julai 2011.

“Ini bermaksud bahawa cukai ini akan ditanggung oleh pengguna sepenuhnya. Jika benar dakwaan tersebut, maka anak-anak muda Malaysia merasa terbeban,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, jika mereka membeli kad prabayar sebanyak RM10 maka mereka hanya memperolehi RM9.40.

“Baki RM0.60 diserahkan kepada kerajaan. Sebahagian besar anak muda Malaysia adalah pelajar sekolah, pelajar universiti dan tiada pekerjaan yang tetap.

“Mereka adalah pengguna aktif telefon prabayar,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, berikutan kenaikan harga barang keperluan harian maka anak-anak muda Malaysia cukup terbeban dengan bayaran cukai itu.

No comments: