Pages

Thursday, December 2, 2010

Jadilah orang yang pemaaf bukan pendendam

Di susun semula dari artikel Majalah Solusi Isu no. 26

PEMAAF

Allah berfirman yang bermaksud: "Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang bodoh." (Surah Al-A'raf 7: 199).

Lihatlah teladan pembukaan Kota Makkah (Fathu Makkah) yang amat masyhur dalam sirah. Rasulullah s.a.w dengan ringan hati memaafkan penduduk Makkah yang pernah menentang Baginda dengan begitu hebat.

Allah juga berfirman yang bermaksud: "Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang di iringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun."(Surah Al-Baqarah 2: 236).

Ingin jadi mulia? Amalkan memberi maaf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Tidak akan berkurang sedekah dengan harta, tidak akan bertambah atas seorang hamba dengan sebab memberi kemaafan melainkan bertambah kemuliaan dan tidak akan tawaduk seseorang terhadap Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (Riwayat Muslim)

Memohon maaf tidak sepatutnya bermusim, malah ia perlu menjadi tradisi harian seorang Muslim. Taburkan maafmu pada setiap malam saat sebelum mata terlelap buat siapa jua walaupun mereka tidak pernah memohon maaf daripadamu.

Siapalah kita untuk membalaskan perbuatan jahat orang kepada diri kita??

PENDENDAM

Dendam biasanya berpunca daripada kemarahan dan kekecewaan. Dengan lazimnya berkait dengan masa silam yang menyebabkan manusia tega mencipta kebinasaan buat saudaranya daripada beroleh kebaikan. Inilah perasaan atau keinginan untuk membalas perbuatan jahat seseorang.

Bunuhlah dendam yang bersarang dalam jiwa dengan langkah-langkah berikut:
  1. Sucikan hati dengan solat taubat dan istighfar.
  2. Maafkan semua orang sebelum tidur.
  3. Lupakan segala duka atau kisah silam yang menyebabkan dendam marak.
  4. Bersahabat dengan orang soleh. Elakkan bersahabat dengan batu api yang tidak pernah kenal putus asa menyemarakkan sengketa sesama insan.
  5. Setiap manusia tidak terlepas daripada berbuat silap.
  6. Percayalah jika kita di aniaya dan tidak mendapat pembelaan di dunia, maka berharaplah pembalasan Allah di akhirat sana yang lebih adil tanpa perlu berdendam kepada sesiapa.

Ingatlah bahawa memaafkan ialah dendam yang terindah. Dan jadilah ibarat pohon epal yang tetap menjatuhkan buahnya yang manis walau dilemparkan batu.

No comments: